Kelebihan Membaca Wirdul Lathiif dan Ratib al-Haddad
Tersebut di dalam al-Maslakul Qariib li Kulli Saalikin Muniib karya al-‘Arifbillah al-Habib Thohir bin Husain bin Thohir رحمه الله تعالى
(Faedah) Jalan-jalan
yang menyampaikan kepada Allah Ta`ala adalah sebanyak bilangan nafas segala
makhluk. Semuanya dibina atas dasar al-istiqamah dan menuruti Junjungan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم, mendidik jiwa dengan
mensucikan dan membersihkannya daripada segala akhlak yang keji serta
menghiasinya dengan akhlak – akhlak mulia, sehingga terpancar kepadanya segala
anwar dan tersingkap segala asrar, sehingga mencapai setinggi-tinggi martabat
ketaqwaan kepada Allah.
Di antara sebaik-baik
jalan yang berterusan diamalkan sejak berzaman oleh para pengamal dengan
istiqamah adalah thoriqah para Saadah ‘Alawiyyin (jalan para pemuka Bani ‘Alawi
iaitu anak cucu Imam ‘Alawi bin ‘Ubaidillah bin Ahmad al-Muhajirرحمهم الله تعالى) yang diasaskan atas dasar ilmu dan amal
menurut apa yang diterangkan oleh al-Imam Hujjatul Islam al-Ghazali رحمه الله تعالى dalam kitab Ihya’ Ulumiddin, khasnya pada
pertengahan yang kedua daripada kitab tersebut, kerana beliau telah menerangkan
padanya perkara-perkara yang memusnahkan (al-muhlikaat) dan yang menyelamatkan
(al-munjiyyat). Dengan mengetahui perkara tersebut, dapatlah disucikan diri
daripada sifat-sifat yang keji dan dihiaskannya dengan sifat-sifat yang mulia.
Di antara zikir-zikir
yang paling elok bagi ahli thoriqah ini (yakni Thoriqah Saadah
‘Alawiyyin/Thoriqah Saadah Baa ‘Alawi) adalah segala zikir yang telah dikumpul
oleh Quthubul Haqiqah wal Irsyad al-Habib ‘Abdullah bin ‘Alawi al-Haddad رحمه الله تعالى. Antaranya apa yang beliau himpunkan dalam
kitab Miftaahus Sa`aadah, di dalamnya beliau telah menghimpun kebanyakan
zikir-zikir yang sahih yang warid daripada Junjungan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم, di antaranya al-Wirdul Lathiif yang
dibaca pagi dan petang, jika tidak berkelapangan maka memadai diamalkan pada
waktu pagi sahaja. Faedah-faedah al-Wirdul Lathiif ini sangat banyak dan tidak
terhingga, sesiapa yang membaca syarahnya dia akan melihat kelebihan
faedah-faedahnya dan akan melaziminya dengan bersungguh-sungguh. Dan di
antaranya juga adalah ratibnya yang masyhur dengan nama Ratibul Haddad yang
dibaca orang selepas sholat ‘Isya’. Ianya ringkas sahaja dengan bacaan-bacaan
yang pendek tetapi mempunyai manfaat besar dan tidak terkira kelebihan dan
keajaibannya. Dengan sebab keberkatannya, pengamal-pengamalnya akan menerima
berbagai bantuan (madad) dan anugerah daripada Allah Ta’ala yang tidak
putus-putus. Ratib ini bermanfaat bagi orang dewasa, kanak-kanak, golongan
atasan, golongan bawahan, peringkat muntahi (peringkat kesudahan), peringkat
mutawassith (peringkat pertengahan) dan juga peringkat mubtadi (peringkat
permulaan). Sesiapa yang istiqamah mengamalkan ratib ini akan dikayakan Allah
(yakni segala keperluannya akan dipenuhi Allah Ta’ala). Demikianlah penjelasan
al-‘Arifbillah al-Mannan, asy-Syaikh ‘Abdullah BaSaudan رحمه الله تعالى, yang mensyarahkan ratib tersebut.
Dan daripada
zikir-zikir yang terbaik juga untuk diamalkan waktu petang dan pagi, yang
mengandungi zikir-zikir yang warid daripada Junjungan Nabi صلى الله عليه وآله وسلم, adalah apa yang terkandung dalam kitab
al-Maslakul Qariib li kulli Saalikin Muniib susunan al-‘Arifbillah al-Habib
Thohir bin Husain bin Thohir Baa ‘Alawi . Kitab al-Maslak ini mempunyai banyak
manfaat dan faedah-faedah yang masyhur. Sesiapa yang berterusan mengamalkannya,
dia akan terpelihara daripada gangguan jin dan manusia dan daripada segala yang
di langit dan di bumi. Pendeknya segala-galanya itu terletak atas dasar
keikhlasan dan niat yang baik, maka apabila baik niat akan terhasillah
natijahnya.
repost with permission - Malaysian Blog ❤